Bilakah Lailatul Qadar?

Lailatul Qadar adalah satu malam yang amat istimewa. Pada malam tersebut Allah s.w.t. telah menurunkan al-Qur'an dan para malaikat membawa ketetapan Qadha' dan Qadar untuk setahun berikutnya. Selain itu malam tersebut adalah lebih baik dari 1000 bulan yang lain.

Bilakah Lailatul Qadar? Lailatul Qadar jatuh pada salah satu malam yang ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. menerangkan: "Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan." [Shahih al-Bukhari, hadis no: 2017]

Ada pandangan yang berkata Lailatul Qadar jatuh pada malam 27 bulan Ramadhan. Pandangan ini sebenarnya kurang tepat kerana tidak berasal dari al-Qur'an atau al-Sunnah yang sahih. Beberapa sahabat Rasulullah ada mengatakan mereka menemui Lailatul Qadar pada malam 27, akan tetapi ia hanya berlaku pada tahun tersebut. Pada tahun-tahun yang lain, ia jatuh pada malam yang lain. Ini kerana malam Lailatul Qadar sentiasa berubah-ubah dari tahun ke tahun. Yang diketahui adalah ia akan jatuh pada salah satu malam yang ganjil pada sepuluh malam yang terakhir. Kenapakah Allah dan Rasul-Nya tidak menetapkan satu tarikh yang pasti?

Syaikh Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan hikmahnya: "Milik Allah-lah hikmah kebesaran yang ada di sebalik rahsia-rahsia-Nya. Sekiranya kita mendapat keyakinan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam tertentu sahaja, tentu semangat kita mengendur di sepanjang Ramadhan dan merasa cukup dengan menghidupkan malam yang ditentukan itu sahaja. Kerahsiaannya merupakan pendorong untuk melakukan amal pada bulan itu seluruhnya dan melipat gandakan amal tersebut pada sepuluh malam terakhir. Ini mengandungi kebaikan yang sangat banyak bagi individu mahupun jamaah.

Hal ini sebagaimana Allah s.w.t. merahsiakan saat yang doa menjadi mustajab pada hari Jumaat agar kita sentiasa berdoa kepada-Nya sepanjang hari Jumaat. Allah juga merahsiakan Nama-Nya yang paling agung yang apabila digunakan pasti akan dikabulkan-Nya, agar kita berdoa dengan menggunakan Nama-Nama baik-Nya (al-Asma al-Husna) secara keseluruhan." [Fiqh al-Siyam, ms. 176-177]

Beberapa alamat Lailatul Qadar Di dalam beberapa hadis yang sahih ada diterangkan alamat atau tanda bagi mengenal Lailatul Qadar. Pada malam tersebut suasana adalah nyaman, tidak panas dan tidak sejuk. [Shahih al-Jami' al-Shagheir, hadis no: 5475]

Kemudian pada pagi hari selepas Lailatul Qadar, matahari terbit dengan sinaran yang tidak menyilau atau tidak terik. [Shahih Muslim, hadis no: 762]

رَبَّنَا إِنَّكَ تَعْلَمُ مَا نُخْفِي وَمَا نُعْلِنُ ۗ وَمَا يَخْفَىٰ عَلَى اللَّـهِ مِن شَيْءٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ

"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah! (Surah Ibrahim 14: Ayat ke 38)

iluvislam.com

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...