Sentuhan Saga FLX

saga FLXLEBIH KUASA...Saga FLX menggunakan transmisi CVT dan ciri keselamatan ABS dan EBD.

SELEPAS tiga tahun di pasaran, model sedan paling laris di negara ini, Proton Saga mendapat sentuhan terbaru menerusi model Saga FLX yang menampilkan ciri pemanduan lebih lancar dengan teknologi transmisi pemboleh ubah berterusan (CVT) menggunakan enjin Campro.

Model itu adalah kesinambungan kepada kejayaan model Saga FL yang diperkenalkan baru-baru ini dengan tambahan harga antara RM600 hingga RM1,700 seunit mengikut varian enjin 1.3 Standard dan 1.3 Eksekutif, sama ada transmisi manual atau automatik selain pilihan warna terbaru iaitu Coklat Elegant.

saga FLX
Model berkenaan yang kini boleh dilihat secara dekat di semua bilik pameran Proton Edar Sdn Bhd dan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) hari ini, mampu memberikan penjimatan minyak sehingga empat peratus bagi pemanduan dalam bandar dan hampir 10 peratus untuk pemanduan di lebuh raya.

Sumber industri automotif berkata, teknologi CVT semakin popular di kalangan pembuat kereta mewah di seluruh dunia memandangkan ia melancarkan pemanduan serta prestasi lebih cekap untuk kereta masing-masing.

“Selain penggunaan CVT, model Saga FLX ini turut dipadankan dengan Sistem Antikunci Brek (ABS) dan Agihan Brek Elektronik (EDB) bagi model varian eksekutif,” katanya kepada Bisnes Metro, baru-baru ini.

saga FLX
Beliau berkata, model berkenaan yang dijangka bersaing dengan model sekelasnya seperti Perodua Myvi baru turut mendapat sentuhan terkini dibahagian ruang dalaman khususnya di bahagian konsul pendingin hawa, pemegang pintu dan panel tengah.

Bagaimanapun, ciri menarik sedia ada pada Saga FL seperti sistem kawalan audio pada stereng dan lampu isyarat pada cermin sisi terus dikekalkan pada model Saga FLX bagi memberikan kepuasan kepada pengguna yang mahukan kereta dengan ciri lebih baik.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Bhd (Proton), Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dilaporkan berkata, Proton akan memperkenalkan teknologi CVT menggunakan enjin Campro untuk barisan kereta yang akan datang.

saga FLX
Beliau berkata, Proton melakukan ujian pembangunan dan penyepaduan menyeluruh CVT dan berpuas hati kerana ia mampu memberi pilihan untuk barisan kereta dengan transmisi gear automatik empat kelajuan konvensional yang digunakan sekarang.-HMetro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...