Dadah : Penyanyi rock terkenal, isteri direman 7 hari

MELAKA 2 Feb. - Seorang penyanyi sebuah kumpulan rock terkenal tanah air bersama isterinya hari ini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan setelah dipercayai memiliki dadah di serbuan di sebuah hotel bajet di sini petang semalam.

Perintah tahanan reman sehingga 8 Februari depan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah itu dikeluarkan oleh Majistret Aishah Hijriah Arshad di Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Penyanyi lelaki terbabit yang berusia 43 tahun dan isterinya serta seorang anak lelakinya berusia empat tahun diserbu polis ketika menginap di bilik sebuah hotel bajet di Melaka Raya di sini.

Menurut sumber, dalam serbuan kira-kira pukul 5.20 petang semalam, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menemui dadah di dalam sebuah beg di bilik tersebut.

"Pemeriksaan mendapati, beg tersebut mengandungi satu ketulan mampat disyaki ganja dan empat peket disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 122 gram selain empat peket disyaki mengandungi syabu kira-kira satu gram ditemui di atas kerusi bilik berkenaan.

"Hasil ujian dadah juga mendapati penyanyi tersebut positif dadah jenis 'methamphetamine'," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Jaafar Mat ketika dihubungi mengesahkan tangkapan penyanyi terbabit serta isterinya.

Penyanyi itu yang pernah dikaitkan dengan masalah dadah sebelum ini kini disiasat mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...