1. Walau apa tujuan menyertai Facebook, utamakan asasnya iaitu ‘networking’. Atau dalam kata lain, berkenalan, bersosial, berkomunikasi dan ada interaksi.
2. Mesti mampu membuatkan orang jelas dengan diri kita seperti apakah produk atau perkhidmatan yang kita tawarkan. Hal ini amat wajib dan penting. Jika tidak, kita akan ‘tenggelam’.
3. Di laman web sosial, orang lebih suka melihat apakah yang kita lakukan dari semasa ke semasa. Jadi gunakan fungsi seperti Photos dan Video sebaik-baiknya.
4. Sertai Group yang berkaitan dan Add ahli-ahli di Group itu sebagai Friend kita. Beritahu mereka bahawa kita juga adalah ahli kepada Group tersebut. Ini adalah salah satu cara untuk menambah kawan tanpa membuatkan mereka ragu siapakah kita.
5. Berikan maklumat yang bernilai. Diri kita akan menjadi bernilai di mata ahli FB jika maklumat atau informasi yang kita berikan bernilai untuk mereka. Di FB, lebihkan ‘sharing’ berbanding promosi semata-mata.
6. Salah satu cara lain untuk menambah Friend adalah dengan menyemak emel-emel pelanggan kita di FB. Jika ada, Add mereka dan beritahu mengenai anda.
7. Selepas Add seseorang, komunikasi pertama adalah amat penting. JANGAN sesekali terus melakukan promosi kepada mereka. Boleh mulakan dengan ucapan terima kasih dan salam perkenalan.
8. Kebanyakan orang terlalu takut untuk membeli melalui internet kerana alasan sukar mempercayai. Begitu juga untuk percaya kepada mana-mana individu atau pihak yang melakukan promosi di internet. Begitu juga di FB.
Oleh itu, kurangkan rasa takut ahli-ahli FB dengan konsisten muncul di FB seperti berkomunikasi dengan mereka, memuat naik foto dan video. Wujudkan kepercayaan pada diri mereka bahawa kita adalah usahawan atau perniagaan yang boleh dipercayai. Cara lain, letak testimonial daripada pelanggan sedia ada.
9. Semakin kita ‘rapat’ dengan ahli-ahli FB, maka kita akan semakin mendapat perhatian.
10. Jika mempunyai kamera atau webcam, boleh terus rekod video dengan menggunakan fungsi Video Recorder di FB.
11. Gunakan fungsi “Tagging” sebaik-baiknya, tetapi tag mereka yang berkaitan sahaja. Elakkan tag secara melulu kerana ia boleh membuatkan mereka marah dan menganggu ruang FB mereka.
12. Hari Lahir: Salah satu cara untuk berkomunikasi dengan ahli-ahli FB adalah dengan mengucapkan ucapan-ucapan yang baik-baik kepada mereka bersempena ulangtahun kelahiran mereka. Status hari lahir ada di bahagian HOME FB.
13. Wujudkan Group atau Fan Page sendiri yang mana ia mempunyai beberapa kelebihan berbanding akaun peribadi (personal profile account).
14. Event: Dalam diam, sudah banyak pihak perniagaan atau individu yang berjaya mendapat peserta untuk program anjuran mereka HANYA melalui Facebook. Caranya adalah dengan menggunakan fungsi Event.
15. Jika sesuai, boleh integrasikan akaun Facebook dengan Twitter dan juga blog (RSS).
16. Chat: Tanpa perlu menggunakan aplikasi lain di luar FB, kita boleh menggunakan fungsi Chat untuk berbincang sesuatu perkara bersama pelanggan. Namun pastikan cara ini tidak membuatkan masa kita habis begitu sahaja tanpa kawalan.
17. Pelbagaikan bentuk penulisan di FB. Elakkan terlalu streotaip atau kaku dengan satu-satu cara sahaja. Masukkan unsur-unsur humor, fakta, statistik, pendapat, berita, link ke artikel yang menarik, persoalan, menggunakan imej di dalam penulisan di nota (Notes), senarai dan pelbagai lagi bentuk.
18. Saya dapati, jika kita menjadikan (memperlakukan) rakan-rakan (Friends) di FB sebagai pelanggan di dalam komunikasi iaitu ‘kita di atas dan mereka di bawah’, ia kurang berkesan di dalam menarik minat mereka. Kita perlu melihat mereka seperti seorang rakan (sama aras), dan bukan seorang pelanggan. Maka laras bahasa juga perlulah sesuai tanpa menggunakan ayat-ayat yang terlalu menjual. Orang tidak suka mereka terjual. Kurangkan ego mereka.
19. Gunakan bahasa atau cara penulisan yang boleh difahami oleh semua golongan. Bahasa SMS (shortcut) biasanya difahami oleh orang-orang muda sahaja, tetapi tidak untuk orang-orang lama. Begitu juga bahasa pasar, tidak semua bangsa boleh memahaminya. Tanda seseorang itu serius dalam bisnes adalah, mereka akan menjaga cara penulisan dan bahasa mereka sebaik mungkin.
20. Elakkan melepas geram atau menulis sesuatu yang negatif, atau melakukan sesuatu yang kurang elok. Seorang usahawan (terutama yang berjaya) biasanya akan dilihat sebagai hebat dan positif. Jika kita (usahawan) menulis sesuatu yang menunjukkan kita lemah, mudah mengeluh, tidak bersabar dan cepat melenting, maka nilai kita pada pandangan orang akan mula terhakis.
21. Jika tiada idea untuk menulis sesuatu di FB, gunakan sahaja fungsi Link dengan memasukkan link (pautan) ke mana-mana artikel di blog, lagi-lagi jika kita mempunyai sebuah blog yang telah ditulis dengan banyak artikel.
tips yang terbaik ni bro
ReplyDelete