4 Datuk Ditangkap Berjudi

Kuala Terengganu - Sungguh memalukan! Enam sahabat sanggup mencemarkan kesucian Ramadan dengan menjalankan aktiviti berjudi beramai-ramai di belakang kedai di Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu, awal pagi semalam.

Lebih menyedihkan, empat di antara enam sahabat itu sudah bergelar datuk yang sepatutnya menghabiskan sisa usia mereka untuk beribadat terutama pada bulan yang mulia ini.

Bagaimanapun, tindakan keenam-enam tertuduh, Abdul Rahim Sigh Abdullah, 38, dari Rumah Murah Kampung Batin, Seberang Takir, Yuhasafuddin Yusof, 24, dari Kampung Rhu Sepuloh, Setiu, Mat Seri Mamat, 48, dari Taman Sri Kolam, Kuala Terengganu, Malizar Sutan Sulaiman, 52, dari Lorong Cempaka Kuala Ibai, Ibrahim Abdullah, 56, dari Kampung Padang Ujib Manir, Kuala Terengganu dan Mahsuri Ngah, 41, dari Kampung Melintang Wakaf Beruas Kuala Terengganu terbalas setelah dijatuhi hukuman denda RM2,000 setiap seorang di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Norazizah Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas keenam-enam tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dengan itu mereka boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Mengikut fakta kes, keenam-enam sahabat itu didapati bermain judi menggunakan buah dadu dengan bertarung wang di belakang kedai Happy Prabayar dan Alat Telekomunikasi, Hafira Communication Service, Jalan Sultan Ismail semalam kira-kira jam 12.15 pagi.

Kegiatan haram mereka itu diintip sepasukan polis selama 10 minit dan sejurus mengetahui kehadiran polis, mereka cuba melarikan diri namun kesemua mereka berjaya ditangkap selepas berlakunya pergelutan. -Greenboc

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...