Umno Dan Medianya Menipu - Pembeli Tanah

TEMERLOH, 5 Mac: Para pemimpin dan media Umno terbukti berbohong ketika mereka memfitnah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membeli tanah peneroka Felda kerana ianya sebenarnya dibeli oleh pihak lain.

(Gambar: Ibrahim menunjukkan bukti tanah itu adalah milik syarikatnya. Ia dicagarkan beliau untuk pinjaman MARA)

Ia sebenarnya dibeli oleh Ibrahim bin Osman, seorang guru yang hanya meminjam duit dari Tuan Ibrahim dan kini tanah itu dicagarkan oleh Ibrahim kepada MARA untuk satu pinjaman lain.

"Sebenarnya apa yang berlaku adalah, seorang peneroka Felda telah mengiklan di merata-rata tempat mahu menjual tanahnya. Beliau juga telah menemui saya dan meminta saya membelinya.

"Memandangkan saya tidak ada duit, saya telah bertanya kepada Datuk Tuan Ibrahim untuk membantu saya. Dia bersetuju meminjamkan dahulu duit kepada saya dan sebagai jaminan terhadap pinjaman tersebut saya bersetuju menggunakan nama isteri beliau sementara saya menjelaskan kesemua pinjaman itu.

"Apabila saya mempunyai duit, saya telah mengambilalih tanah itu dan menggunakannya untuk dicagarkannya kepada pihak MARA atas nama syarikat saya, Syarikat Pintar Kesuma Sdn Bhd (gambar)," kata Ibrahim dalam sidang media khas di Markas PAS Kerdau lewat petang ini.

Ibrahim menjelaskan fitnah yang dibuat Umno dan medianya terhadap Pengarah Pilihan Raya PAS Kerdau Datuk Tuan Ibrahim dengan mendakwa beliau membeli tanah peneroka Felda yang dalam kesempitan bukannya membantu beliau.

(Gambar: Bukti yang menunjukkan tanah itu adalah milik syarikat Cikgu Ibrahim, Pintar Kesuma sdn bhd. Ini adalah borang permohonan cagaran tanah kepada MARA)

Blog Umno juga ada mendakwa Tuan Ibrahim sebagai lintah darat ekoran laporan itu.

"Saya sangat dukacita dengan tuduhan itu kerana hasrat beliau untuk membantu saya dan peneroka berkenaan telah bertukar menjadi satu fitnah terhadap beliau.

"Hasil dari jualan tanah Felda tersebut, peneroka berkenaan telah berjaya membangunkan 15 ekar ladang sawit dan juga ternakan kambing dan lembu, bukannya menjadi dhaif sebagaimana didakwa," kata Ibrahim Osman.

Oleh itu, katanya, soal Datuk Tuan Ibrahim membeli tanah Felda sehingga menganiaya peneroka Felda tidak berbangkit sama sekali dan satu dakwaan dan tuduhan yang tidak benar.

Tuan Ibrahim dalam sidang media itu berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan isu ini dan hanya membantu meminjamkan wang kepada Ibrahim sahaja.

"Media dan Umno hanya cuba mengalih isu sebenar di Kerdau iaitu masalah hutang kerajaan negeri dengan membangkitkan perkara yang tidak benar ini," kata Tuan Ibrahim.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...