Sayangi Ibu Anda

“SAYA hendak balik kampung hujung minggu ini,” Hamisah membuka mulut dengan nada riang.

“Mengapa tiba tiba-tiba saja hendak balik kampung, apahal ni?” Adilah menjawab dengan penuh kehairanan. “Hai, tak tahu hujung minggu ini, 12 Mei, adalah Hari Ibu?,” kata Hamisah.

“Bila kali terakhir awak balik kampung tengok emak awak?,” tanya Adilah.

“Enam bulan lalu, masa Aidilfitri. Apakah awak tidak mahu balik kampung untuk meraikan Hari Ibu bersama emak?” tanya Hamisah.

“Saya sentiasa memuliakan dan mengingati emak saya sebanyak lima kali sehari, sehabis solat lima waktu, saya mendoakan kesejahteraannya, saya pulang ke kampung sebulan sekali untuk memberikannya wang bulanan sebanyak RM500,” jawab Adilah, tegas.

“Banyaknya awak bagi duit kat mak awak, habis awak hendak makan apa?”, tanya Hamisah, hairan.

“Jasa dan pengorbanan emak mengandung dan melahirkan saya tisak ternilai. Emak berjuang dalam keadaan antara hidup dan mati masa melahirkan saya. Kemudian, emak membesarkan saya dengan penuh kasih sayang tanpa syarat, dari saya sebesar ibu jari. Emak didik saya menjadi orang beriman, menyekolahkan saya hingga jadi warga yang tahu erti tanggungjawab. Tidak ternilai harganya dan tidak terhitung budinya! Semoga Allah merahmati emak saya,” kata Adilah.

“Tetapi mengapa susah-susah sangat, kena balik kampung, kan duit tu awak boleh masukkan saja dalam akaun dia, cukuplah,” kata Hamisah.

Jawab Adilah: “Sebenarnya, saya sangat rindukan renungan redup mata emak. Saya rasa tenang berada bersamanya. Saya pun dapat rasa, emak juga amat rindu pada anak-anaknya. Saya mahu balik memeluknya, mahukan restunya dalam apa saja yang saya kerjakan.

“Lagipun Rasulullah pernah mengatakan, memandang wajah ibu bapa dengan penuh kasih sayang adalah satu ibadat. Awak pun tahu, bukan senang hendak buat pahala zaman sekarang ni. Allah bagi pahala percuma, hanya dengan kita melihat wajah ibu kita, Subhanallah.

“Lagipun, emak saya dah tua, kita tak tahu, bila-bila masa saja Allah akan menjemputnya. Saya rasa masa saya untuk melihatnya semakin sedikit. Kita masih muda, duit boleh dicari, tetapi umur ibu tidak akan menjadi lebih muda.

Jawapan itu membuatkan Hamisah sebak. Dalam suara tersekat-sekat, dia berkata, “Terima kasih, Adilah, kata-kata awak tu benar-benar mengusik hati saya. Saya rasa tiba-tiba saja hati menjadi sayu. Saya akan tatap wajah tua emak saya. Saya hendak peluk dan cium emak saya sepuas-puasnya. Saya akan layan dia seperti seorang permaisuri apabila saya balik kampung nanti.

“Saya berjanji saya akan sentiasa mendoakannya paling minimum lima kali sehari semalam ketika dia hidup dan juga apabila meninggal dunia kelak. Saya tidak mahu kesusahan hidup menjadi alasan untuk tidak menunjukkan prihatin dan kasih sayang kepada emak saya. Kesibukan bekerja dan urusan peribadi bukan alasan untuk saya tidak menjenguk dan bertanya khabar emak yang kesunyian di kampung.”

Perbualan dua sahabat itu mengingatkan kita kepada sebuah hadis Rasulullah saw. Daripada Mu'awiyah bin Jahimah As-Salami, Jahimah datang kepada Rasulullah, lalu berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin pergi berperang dan aku sekarang datang minta nasihat kepada tuan.”

Baginda bertanya: “Apakah kamu masih mempunyai ibu?”

Dia menjawab: “Masih.”

Baginda bersabda: “Uruslah dia, kerana syurga di bawah kedua kakinya.” (Hadis riwayat Nasa'i, Ahmad dan Ibnu Majah)

Rasulullah memahami keinginan Jahimah untuk pergi berperang dan pada masa sama mengetahui ibu Jahimah sakit dan perlukan penjagaan. Namun, Baginda memerintahkannya mengurus ibunya kerana dengan mengurus ibunya, dia akan mendapatkan balasan syurga. Subhanallah, ada saat tertentu di mana menjaga ibu sakit lebih utama daripada berjihad di jalan Allah.

Menerusi hadis itu, Baginda dengan tegas menerangkan keistimewaan yang Allah berikan kepada ibu, pemegang kunci syurga anak-anaknya. Jika anak mereka berbakti kepada ibunya sesuai dengan tuntutan Islam, Allah akan memudahkan mereka masuk ke syurga. Sebaliknya, jika anak itu derhaka kepada ibunya, pintu syurga menjadi sukar untuk mereka lalui.

Kehormatan tinggi seperti ini hanya menjadi hak seorang ibu dan tidak menjadi hak seorang bapa. Ini membuktikan bahawa Islam benar-benar mengangkat martabat dan darjat kaum wanita, memperlakukannya begitu terhormat sehingga dijadikan penentu bagi anak-anaknya untuk memasuki syurga stau sebaliknya.

Firman Allah, yang bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya mengandungkannya dengan susah payah, melahirkan dengan susah payah pula, mengandungkannya, menyusukan sehingga 30 bulan, sehingga apabila dia dewasa dan berumur 40 tahun, dia berkata: Wahai Tuhanku, tunjuklah aku supaya aku mensyukuri nikmatmu yang dengannya Engkau merahmati aku dan ibu bapa, dan supaya aku dapat membuat amal salih yang Engkau redai, berilah kebaikan (perbaikilah aku) kepadaku, dengan memberikan kebaikan kepada anak cucuku. Sesungguhnya, aku bertaubat kepada Engkau, dan aku termasuk orang yang berserah diri. Mereka itulah orang yang kami terima daripada mereka amal yang baik, yang mereka kerjakan, dan kami ampuni kesalahan mereka bersama penghuni syurga sebagai janji benar yang dijanjikan kepada mereka,” (Surah al-Ahqaf, ayat 15-16).

Sesungguhnya, memuliakan ibu bukan hanya setakat merayakan sebuah hari yang dinamakan ‘Hari Ibu’. Menyanjung ibu bukan sekadar memperingatinya setahun sekali dengan pelbagai upacara, peraduan, makan-makan, atau memberinya hadiah serta pengisytiharan luaran bersifat material.

Memang benar, sambutan Hari Ibu ada agenda baik di dalamnya, iaitu menjana perhubungan erat antara enak dan ibu bapa. Namun begitu, di dalam Islam, terdapat pendidikan dan pengajaran mengenai amalan dan konsep berbakti kepada ibu bapa yang mencerminkan ketulenan dan keikhlasan, berbanding sambutan Hari Ibu yang seolah-olah menampakkan kepura-puraan dan bersifat materialistik.

Berbakti kepada ibu bapa tidak harus dijadikan sebagai ‘budaya setahun sekali’, sebaliknya, ia mesti dijadikan budaya sepanjang tahun supaya amanah memulia dan memperingati ibu tercinta, dilakukan setiap masa. Malah, banyak ayat dalam al-Quran dan hadis, memberi galakan dan mengajar umat cara berbakti kepada ibu bapa, sama ada mereka masih hidup atau sudah tiada.

Kita seharusnya menjadikan Hari Ibu sebagai ‘peringatan’, apakah semua ibu (wanita) telah diberi ruang dan waktu sesuai dengan fitrah mereka diciptakan. Begitu banyak yang dikerjakan oleh tangan seorang ibu/wanita yang boleh disimpulkan kepada dua. Pertama, betapa berat tanggungjawab ibu/wanita, dan kedua, begitu besar cintanya kepada anak, tanpa membezakan sama ada anaknya perempuan atau lelaki.

Semoga Hari Ibu tahun ini menjadi peringatan kepada kita, juga bagi ibu/wanita, untuk menggunakan ‘tangannya’ dengan sebaik-baiknya, supaya insan kecil yang dididik dan didodoinya, membesar menjadi manusia yang hebat membacakan ayat suci dan tidak memperlecehkan kedudukan wanita/ibu.

Semoga dari ‘tangan’ ibu/wanita ini, akan lahir manusia berbudi luhur yang mengambil berat nasib dan penderitaan insan lain, supaya negara tidak dipenuhi manusia yang hanya tahu memikirkan diri sendiri dan merosakkan alam serta masyarakat sekelilingnya.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...