Gadis koma selepas dirogol, dicampak di tepi jalan

SEREMBAN 7 Feb. - Entah di mana hilangnya sifat kemanusiaan apabila seorang gadis bukan sahaja dirogol malah dipukul sebelum dicampakkan di tepi jalan berhampiran lampu isyarat di Lukut, dekat sini, Jumaat lalu.

Berikutan kejadian itu, mangsa kini koma akibat kecederaan parah di belakang kepala.

Ketika ditemui orang awam pukul 6.35 pagi, gadis berketurunan Cina dan berusia 20-an itu memakai kemeja berwarna merah dan seluar jeans paras lutut.


Hamdan Majid menunjukkan gambar mangsa yang koma selepas dirogol, dipukul sebelum dicampak di tepi jalan di Seremban, semalam


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, mangsa yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa ke hospital menggunakan ambulans.

"Hasil pemeriksaan kita mendapati mangsa mengalami keretakan pada bahagian belakang kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

"Mangsa yang disyaki warga tempatan turut cedera di kedua-dua belah siku dan lutut kerana diseret selain sebelum itu dirogol," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Jelas Hamdan, setakat ini, identiti mangsa belum diketahui kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

"Kita percaya mangsa mungkin diserang lebih daripada seorang sebelum dia dicampakkan di kawasan berkenaan.

"Mangsa kini ditempatkan di ICU (Unit Rawatan Rapi) Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dan keadaannya dilaporkan stabil," jelasnya.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 kerana merogol.

Tambahnya, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau saudara mara atau mempunyai maklumat mengenai mangsa agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di talian 06-6472222.
-Utusan Malaysia-

1 comment:

  1. teruknye manusia,dpt perogol tu ptot2 rejam je sampai mati..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...