Bagai Aksi Filem

KUALA TERENGGANU - Bagaikan aksi filem. Seorang pemandu berdepan detik mencemaskan apabila kereta yang dipandunya merempuh beberapa buah kenderaan, sebelum menghentam dinding depan rumah seorang penduduk, dalam kejadian di Kampung Tanjung Sabtu, Manir, tengah hari semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Khazahari Che Mat berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.

Menurutnya, mengikut maklumat awal yang diterimanya, kereta Persona tersebut datang dari arah Jeram menghala ke Kampung Buloh Gading.

Bagaimanapun katanya, ketika tiba di tempat kejadian, kereta itu dipercayai terbabas di kawasan selekoh, lalu bergesel dengan sebuah Pajero, sebelum melang­gar sebuah kereta Waja yang terletak di garaj dan merempuh dinding hadapan kediaman itu.

“Akibat rempuhan kuat itu, dinding itu terbalik dan rosak. Tuan rumah yang ketika itu berada dalam kediamannya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kereta Persona itu pula remuk pada bahagian depan dan belakang, manakala kereta Waja pula remuk sebelah kiri, termasuk bumper, lampu dan bonet sementara Pajero itu hanya sedikit tercalar pada bahagian bumper kiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Menurut beliau, pihaknya masih menunggu laporan lanjut memandangkan pihak yang terlibat masih belum membuat laporan polis.-SH-

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...