Lelaki Berpakaian Wanita Ditukul

GEORGETOWN - Seorang lelaki mati di hadapan sebuah tokong dengan kesan kecederaan di kepala dipercayai dipukul dengan objek keras di Love Lane dekat sini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, orang awam menemui mayat seorang lelaki berpakaian wanita berlumuran darah di kepala dipercayai dihentak beberapa kali dengan tukul.

“Siasatan awal mendapati, mangsa mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dengan beberapa kesan pukul menggunakan tukul yang ditemui polis di dalam sebuah longkang, 92 meter dari tempat kejadian.

“Menurut saksi kejadian, ketika kejadian, mangsa sedang berjalan dan diserang suspek yang menunggang sebuah motosikal EX5 berwarna hitam dan melarikan diri sejurus mangsa rebah,” katanya kepada media semalam.

Menurutnya, polis sudah mengambil keterangan beberapa saksi kejadian berikutan sistem kamera litar tertutup (CCTV) milik tokong itu mengalami kerosakan sejak dua hari lalu.

“ Kita masih meneruskan siasatan yang mana maklumat awal mendapati, suspek tinggal di Macalister namun setelah polis membuat pemeriksaan di sebuah rumah, rumah itu di dapati kosong dan kita akan menjalankan siasatan susulan bagi mengesan suspek. Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“ Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini supaya menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan,” katanya. -SH-

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...