TERKINI: Kesemua Mangsa (Anak Yatim) Berjaya Dikeluarkan, 3 Faktor Kejadian [updated and Video]

Mayat empat lagi kanak-kanak mangsa tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat, dekat sini, ditemui awal pagi ini.

Mayat tiga daripada mereka yang hanya dikenali sebagai Riz, Fahad dan Hazim, kesemuanya berumur 9 tahun ditemui pada pukul 4.21 pagi, manakala mayat kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Boboy, 11, diitemui pada pukul 5.05 pagi.

Dengan penemuan empat mayat itu, kesemua mereka yang dilapor tertimbus dalam kejadian itu telah ditemui, kata polis.

Kejadian pada pukul 2.30 petang semalam itu mengakibatkan 25 orang terdiri daripada penghuni, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus. 16 orang ditemui mati manakala sembilan yang lain cedera, tiga daripadanya kritikal.

Polis berkata operasi mencari dan menyelamat kini dihentikan dan akan disambung pukul 8 pagi ini.

Berikut adalah senarai nama 25 mangsa yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat dekat sini Sabtu.

Senarai nama berikut adalah menurut nama panggilan mangsa di rumah anak yatim berkenaan.

1) Azrel, 8,
2) Nael, 8,
3) Shahrul, 9,
4) Boboy, 10,
5) Farid, 34,
6) Eqim *
7) Zaim *
8) Angah *
9) Rahimi *
10) Zaid Ashwal, 18,
11) Riz, 9,
12) Fahad, 9
13) Hazim, 9

Sembilan yang terselamat iaitu:

1) Khairul, 9,
2) Hairis *
3) Harris *
4) Akmal *
5) Aizat *
6) Alaudin *
7) Irwan, 33,
8) Din, 30,
9) Syafiz, 22,

Tidak diketahui keadaan tetapi telah dikeluarkan
1) Lokman, 11,
2) Aiman, 10,
3) Hasril, 11,

* umur tidak diketahui



Tanah runtuh Hulu Langat: Tragedi ketika berlatih nasyid


KUALA LUMPUR: Sepuluh penghuni rumah anak yatim maut dan tujuh lagi masih terperangkap dalam kejadian tanah runtuh membabitkan kediaman Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat, dekat sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu membabitkan 25 penghuni pusat berkenaan dan sehingga jam 11.00 malam tadi, sembilan disahkan selamat.

Hujan lebat yang turun sejak jam 5.30 petang menyukarkan operasi mencari dan menyelamat untuk membawa keluar baki sembilan penghuni termasuk seorang kakitangan pusat itu yang belum ditemui dan dipercayai berada di bawah timbunan runtuhan tanah serta bangunan dewan serba guna.

Penduduk dan pasukan mencari dan menyelamat menemui mangsa pertama yang hidup jam 3 petang. Dalam tempoh sejam selepas itu, mereka menemui tiga lagi mangsa terselamat.

Mayat mangsa pertama ditemui jam 4.25 petang diikuti mangsa kedua jam 5.06 petang dan mayat ketiga jam 6.27 petang. Empat lagi mangsa hidup berjaya dikeluarkan termasuk yang ke sebelas pada jam 7.40 malam tadi.

Semua mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Hospital Kajang dan Hospital Ampang.

Dua daripada mangsa yang terbunuh adalah pasangan adik beradik Mohd Zaim Azahari, 14, dan Mohd Azed Azahari, 10,

Seramai 500 anggota penyelamat terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), St John Ambulans, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) meneruskan operasi dalam keadaan cuaca gelap dan hujan lebat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang turut berada di tempat kejadian mengakui gerakan mencari sukar disebabkan hujan lebat serta masih berlaku pergerakan tanah yang berkemungkinan menyebabkan kawasan itu runtuh sekali gus membahayakan anggota penyelamat.

Kejadian itu berlaku ketika sekumpulan hampir 30 penghuni bersama guru berada di sebuah dewan serba guna berhampiran blok penginapan mereka untuk menjalani latihan penuh persembahan nasyid sempena satu majlis serahan bantuan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang dijadualkan jam 5 petang semalam.

Kediaman itu menempatkan tiga blok bangunan termasuk penginapan tiga tingkat, surau dan dewan serba guna yang dijadikan tempat kuliah serta dewan makan.

Akibat kejadian itu, sebahagian bangunan pertama blok hadapan musnah teruk dan runtuh di bahagian kanan manakala satu lagi bangunan tidak terjejas.

Beberapa penduduk di situ mendakwa mereka mendengar bunyi dentuman dan runtuhan sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk membantu mangsa.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menggunakan khidmat helikopter unit udara PDRM bagi membantu mengesan mangsa serta meninjau keseluruhan kawasan kejadian.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Habsah, berkata kawasan di sekitar Batu 14 itu dikelilingi bukit serta mempunyai banyak anak sungai yang menyebabkan mudah berlaku runtuhan atau pergerakan bawah tanah.

Katanya, kawasan kejadian terletak di antara Sungai Gahal dan Sungai Congkak yang dikatakan antara punca pergerakan tanah mendap secara perlahan sebelum runtuh petang semalam.

“Kawasan ini memang menjadi kawasan tadahan air bawah tanah. Jika hujan lebat lebih 30 minit, pasti akan berlaku banjir kilat kerana tanah di situ sudah banyak air,” katanya. -BH



Tiga faktor kejadian


KUALA LUMPUR: Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat, semalam, berkemungkinan berpunca daripada faktor alam semula jadi, iaitu aliran puing (debris flow).

Pengarah Institusi Alam Sekitar dan Pembangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata ini kerana kawasan berkenaan masih belum diteroka dan aliran puing hanya berlaku secara di kawasan sedemikian setiap 20 hingga 30 tahun sekali bergantung kepada cuaca semasa.

Katanya, kejadian berkenaan berkemungkinan mempunyai persamaan dengan tragedi banjir lumpur yang berlaku di Pos Dipang, Kampar, Perak pada 1996 dan di Jalan Susur Genting Highlands pada 1995.

“Debris flow ini berpunca daripada tiga faktor alam sekitar iaitu keadaan cuaca, keadaan muka bumi dan geologi, di mana ia turut berkaitan dengan sumber air atas bukit.

“Tekanan air atas bukit yang kuat ini turut membawa sekali batu, pokok serta tanah dan mengakibatkan pergerakan tanah punca berlakunya tanah runtuh,” katanya.

Menurut Ibrahim, kejadian ini adalah normal berlaku di kawasan berbukit tetapi tidak diberi perhatian serius kerana jarang membabitkan kawasan didiami penduduk.

“Di negara kita sendiri perkara ini selalu terjadi tetapi biasanya tidak diketahui kerana berlaku di tengah hutan seperti Banjaran Titiwangsa.

“Disebabkan ia jarang diberi perhatian, masalah ini tidak diambil berat oleh pihak berkaitan, termasuk orang ramai yang masih berani mendirikan rumah di lereng bukit,” katanya.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata, kejadian berkenaan berbeza dengan kes tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor pada 6 Disember 2008.

“Kejadian di Bukit Antarabangsa berpunca daripada kecuaian manusia yang rakus melakukan pembangunan tidak terkawal di kawasan bukit.

“Bagaimanapun, dalam kedua-dua situasi ini, kawasan berkenaan tetap mempunyai risiko untuk berlakunya tanah runtuh kerana terletak di kawasan bukit,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang, pihak berkaitan, khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT), memantau keselamatan kawasan berbukit yang didiami penduduk.

Katanya, ini kerana kejadian tanah runtuh hingga membabitkan kehilangan nyawa sering berlaku tetapi tindakan yang diambil selepas itu hanya sementara, lantas diabaikan.

“Kita lihat ini sebagai kelemahan kerana pemantauan dan pelbagai cadangan hanya dibuat bila kejadian berlaku, tetapi bila reda isu itu ia dilupakan,” katanya. -hm




0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...