Peliharalah Solat Anda

pelihara solatAssalamualaikum kepada semua pengunjung blog peringatan bagi yang lalai, yang masih setia untuk berkunjung dan mengambil sedikit peringatan kerana setiap manusia tidak lepas daripada sifat lalai.Kadang kala kita lalai dengan urusan dunia maka kita mendapat kerugian di dunia,tetapi kerugian di dunia hanya sedikit sahaja, lalai yang paling besar ialah lalai dengan urusan akhirat, kita lalai daripada melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t dan lalai dengan terus melakukan maksiat kepada Allah s.w.t maka kita akan mendapat kerugian yang sangat besar di akhirat nanti yang tidak boleh ditebus dengan air mata darah sekalipun.

Saya masih lagi nak menulis tentang solat, sambungan daripada artikel lepas “solatlah sebelum kamu disolatkan”. Solat yang menjadi tiang agama, perkara yang paling besar dan penting dalam kehidupan seorang muslim tiba-tiba menjadi perkara paling remeh dan tidak penting dalam hidupnya, solat hanya macam keropok sahaja, sekejap ada sekejap tak ada, kadang-kadang solat kerana malu dengan bapa mertua, kadang-kadang tidak solat, kadang-kadang penuh kadang-kadang tak penuh. Inilah reality kehidupan remaja kita pada hari ini, boleh dikatakan 95% daripada mereka tidak solat penuh 5 waktu sehari semalam.

Wahai orang-orang yang meremehkan solat! Adakah kamu tahu apa itu solat?kemudian apakah kamu tahu apa itu solat? Ketahuilah bahawa solat adalah tiang agama, solat adalah salah satu daripada rukun islam yang lima,solat adalah amalan yang pertama yang akan dihisab di hari akhirat, jika solat kamu diterima maka semua amalan kamu yang lain akan diterima, tapi jika solat kamu ditolak maka semua amalan yang lain juga akan ditolak, status islam pada seorang muslim bergantung kepada status solatnya, status keuntungan seorang muslim bergantung kepada status pemeliharaan solatnya. Kata Umar al-Khattab “ Tidak ada keuntungan bagi orang yang meninggalkan solat.

Solat pemisah antara orang beriman dan orang yang kufur,sesiapa tidak pernah menunaikan solat menjadi kafir kerana meninggalkannya.

Sabda nabi s.a.w
“العهد لذي بيننا وبينهم الصلاة فمن تركها فقد كفر”

Maksudnya:
Perjanjian antara kita dengan mereka (orang kafir) ialah solat, sesiapa yang meninggalkannya maka sesungguhnya telah kafir”. (riwayat at-Tirmizi-hadis sohih)

Sabda nabi s.a.w
" بين الرجل وبين الشرك والكفر ترك الصلاة "

Maksudnya:
Perbezaan antara manusia dan perbezaan antara syirik dan kufur ialah meninggalkan solat”. (riwayat Muslim)

Mengikut pandangan ahli ilmu sejak dari zaman nabi s.a.w, orang-orang yang meninggalkan solat dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran sehingga berlalu waktu solat adalah kafir, sehingga berlalu waktu solat ialah melewatkan solat dan solat bukan dalam waktunya.

Mengikut ahlus sunnah waljamaah orang meninggalkan solat tapi masih mengatakan solat itu wajib maka dia menjadi fasik(melakukan dosa besar).Ramai yang tertipu dengan perkataan “FASIK”, oleh itu,jawapan mereka mudah sahaja, tak solat fasik aje, belum kafir lagi…Subhanallah.

Ketahuilah bahawa apabila seorang manusia menjadi dewasa dan matang maka semua perkara yang dilaluinya menjadi dewasa dan matang, oleh itu sesiapa yang sentiasa menjaga solat sejak dari kecil (7 tahun) maka solatnya akan menjadi dewasa dan matang, sebaliknya sesiapa yang tidak menjaga solatnya sejak dari kecil maka solatnya tidak menjadi dewasa dan tidak menjadi matang bersama kedewasaan dan kematangannya. Sebab itu,ramai remaja tua hari ini tidak solat kerana solatnya masih remaja.Mengapa manusia rasa susah dan sukar untuk menunaikan solat?, sedangkan Allah s.w.t telah mempermudahkannya dengan hanya memfardukan solat 5 waktu sahaja sehari semalam bukan 50 waktu.

Wahai orang-orang yang lalai! Di bawah ini ada beberapa panduan yang boleh membantu dengan izin Allah s.w.t untuk memudahkan kita menunaikan solat dan memeliharanya insyaAllah.

1) Ingatlah azab meninggalkan solat , kerana orang yang meninggalkan solat mendedahkan dirinya kepada azab Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t: Maryam:59.
kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan Yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (ghayya) (dalam neraka),

Mengikut Kaab al-Ahbar : azab yang disebut dalam ayat ini (ghayya) ialah satu lembah dalam neraka Jahannam, jika dialirkan kepada gunung dunia nescaya gunung akan menjadi cair kerana panasnya.

Bayangkan apabila kita bertemu dengan Munkar dan Nakir nanti di alam Barzah, bagaimana bentuk azab yang akan kita terima?cuba lihat pesalah-pesalah dunia yang disebat dengan 20 puluh kali sebatan bagaimana keadaan mereka sewaktu disebat dan selepas disebat,itu baru azab dunia, manusia yang sebat dan hanya menggunakan rotan yang kecil, bagaimana kalau Munkar dan Nakir dan bagaimana bentuk belantam yang digunakan.

2) Menjauhkan diri dari melakukan dosa dan maksiat, kerana dosa dan maksiat akan mengotorkan hati dan melemahkan badan untuk melakukan ibadah kepada Allah s.w.t lebih-lebih lagi ibadah solat.

3) Pilihlah kawan-kawan yang sentiasa menunaikan solat dan memeliharanya, kerana seorang kawan akan mempengaruhi kawannya yang lain, orang yang solat pun kalau berkawan dengan kawan-kawan yang tak solat akhirnya akan meninggalkan solat.

4) Jangan meninggalkan solat sekali-kali, apabila terlupa solat maka biasakan diri mengqada’ solat dengan segera,jangan memberi ruang kepada syaitan untuk melalaikan kita.

5) Jika sudah berumah tangga maka suami isteri perlu bantu membantu memperingatkan antara satu sama lain apabila tiba waktu solat,untuk memudahkan urusan ini, pilihlah isteri atau suami yang soleh.

6) Berusaha bersungguh-sungguh untuk menunaikan solat,jika kita tertinggal maka hendaklah mencela diri sendiri atas kelalaian tersebut, sehingga kita menjadi biasa dengan solat di mana sahaja kita berada.

7) Sentiasalah berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah supaya menjadikan kita di kalangan orang-orang yang mendirikan solat, kerana Allah s.w.t akan menerima doa hambanya yang bersungguh-sungguh.

8) Ingatlah kelebihan menunaikan solat,sesungguhnya orang yang menunaikan solat mendapat darjat yang tinggi dalam syurga dan dipermudahkan urusan dunia mereka.

9) Sentiasa menghadiri kuliah-kuliah agama di masjid dan surau untuk menambahkan ilmu agama dan melembutkan hati.

10) Memperbanyakkan koleksi buku-buku agama lebih-lebih lagi buku kepentingan solat dan balasan orang yang meninggalkan solat.

Sama-sama kita berdoa supaya Allah s.w.t menjadikan kita di kalangan orang-orang yang mendirikan solat dan memelihara waktu solat insyaAllah.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...