Lembu Naik Lif

Lembu, motosikal punca lif rosak

BUTTERWORTH: Tindakan tidak bertanggungjawab membawa masuk binatang ternakan termasuk lembu dan motosikal dalam lif, adalah antara punca menyebabkan kerosakan kemudahan itu yang disediakan untuk penghuni kediaman di bangunan tinggi di negara ini.

Kajian Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) ke atas kira-kira 2,000 lif di bangunan tinggi di ibu negara pada tahun lalu mendapati ada penghuni yang mementingkan diri dengan membawa masuk ternakan ke dalam lif.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, ketika merasmikan Persidangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Ketiga 3 anjuran Persatuan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Wilayah Utara (NRG-SHE) di sini, semalam.

“Kajian JKKP mendapati salah satu punca kerosakan lif ialah (penghuni) membawa masuk motosikal dan ada juga membawa masuk lembu.

“Inilah yang menyebabkan lif rosak sehingga menimbulkan isu berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Maznah bagaimanapun, berkata kes sedemikian bukan penyebab utama kerosakan lif kerana kajian mendapati kemudahan berkenaan rosak akibat tidak diselenggarakan dengan sempurna.

Katanya, penyelenggaraan lif tidak dapat dilaksanakan berikutan sikap penghuni yang enggan menjelaskan yuran bulanan.

“Apabila satu lif rosak, pengurusan bangunan akan mengambil alat ganti daripada lif lain untuk memperbaiki dan akhirnya semua lif tidak dapat berfungsi sehingga menyusahkan semua penghuni,” katanya.

Bagi mengatasi keengganan penghuni menjelaskan yuran penyelenggaraan setiap bulan, Maznah berkata, kaedah yang dilaksanakan di beberapa negara dengan menyatukan yuran penyelenggaraan dengan sewa bulanan atau bil utiliti mungkin boleh dilaksanakan.

“Kajian wajar dilakukan untuk melihat kesesuaian yuran penyelenggaraan disatukan dengan sewa rumah ataupun bil utiliti dan ini dapat mengelak penghuni tidak menjelaskan yuran penyelenggaraan,” katanya.

Sementara itu, Maznah berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membayar pampasan berjumlah RM1.678 bilion kepada mangsa kemalangan di tempat kerja tahun lalu, peningkatan 19.3 peratus berbanding 2009 yang berjumlah RM1.354 bilion. -BH

Note :

Aku pernah lihat ada member kat kampung tu siap bawa anak lembu dalam kereta kancil dia.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...