"Undi PAS Masuk Syurga" - TG Nik Aziz Mahu Temu Harussani

Nik Aziz mahu jumpa mufti Perak

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantar surat rasmi menyatakan hasrat mahu bertemu dengan mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Gambar: Poster fitnah UMNO BN tertera perkataan "Undi PAS Masuk Syurga" dengan gambar TG NikmAziz sewaktu pilihanraya kecil N27 DUN Merlimau.

Surat yang dihantar pagi tadi itu antara lain mahu mufti Perak itu menjelaskan kenyataannya sebelum ini yang mendakwa Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan, pernah berkata 'undi PAS masuk syurga'.

Tulisan mufti itu disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia 6 Mac lalu, iaitu hari pengundian bagi pilihan raya kecil dewan undangan negeri Kerdau dan Merlimau.

"Hari ini saya telah menghantar surat rasmi kepada sohibus samahah Tan Sri Harussani, mufti Perak memohon penjelasan di atas tulisan beliau di dalam Mingguan Malaysia 6 Mac 2011.

"Saya memohon supaya beliau menjelaskan bilakah saya menyatakan bahawa undi PAS masuk syurga," katanya melalui Facebook hari ini.

Kedua-dua tokoh itu sering bercanggah pendapat berhubung isu agama dan jika pertemuan yang dicadangkan itu menjadi kenyataan, ini adalah kali pertama berlaku mereka akan duduk semeja.
Beri respon

"Semoga beliau memberikan respon,"kata Nik Aziz lagi.

Semalam, Dewan Pemuda PAS Perak juga telah menghantar surat jemputan kepada Harussani berhubung perkara yang sama.

Mereka menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi menjayakan pertemuan tersebut.

Menurut Pemuda PAS Perak, sudah tiba masanya untuk kedua-dua tokoh itu bersemuka dengan cara yang lebih terhormat dan beradab bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan umat Islam.

Mereka berpendapat, dengan menghormati ilmu Harussani, pihaknya merasakan kaedah itu adalah yang terbaik bagi menidakkan semua pandangan yang telah dikemukakan secara terbuka.

Pemuda PAS Perak juga sebelum ini antara yang tidak senang dengan beberapa pandangan mufti itu khususnya dalam isu ancak membabitkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir. -mk-


Demokrasi dan pilihan raya

Oleh Harussani Zakaria

HARI ini penduduk di Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang menyaksikan satu lagi siri pilihan raya kecil bagi memilih pemimpin dari kalangan mereka.

Hal ini menunjukkan bahawa pihak kerajaan sentiasa berusaha menyubur dan menyegarkan amalan demokrasi dalam negara kita yang tercinta ini. Istilah “demokrasi” sudah sinonim dengan masyarakat Malaysia dan sering dikumandangkan hampir saban hari di bandar mahu pun desa. Barangkali, hal ini berlaku disebabkan sebahagian besar daripada kita amat gemar berpolitik ataupun berbicara tentangnya dalam semua hal dan keadaan. Bila ditelusuri istilah “demokrasi” secara umum, bolehlah diertikan bilamana masyarakat ramai memilih mana-mana pemerintah yang akan mentadbir urusan mereka. Kamus Dewan mendefinisikan bahawa “demokrasi” adalah “pemerintahan oleh rakyat atau wakil yang dipilih dalam pilihan raya”. Apa sekalipun bentuk pentakrifan terhadap demokrasi, yang penting adalah kuasa rakyat itu tetap diutamakan bagi memilih dan mengenal pasti siapa yang layak di kalangan mereka bagi memimpin sesuatu kelompok besar masyarakat, negeri dan negara.

Islam sebenarnya tidak menegah sistem ini dilaksanakan, bahkan memberi pilihan kepada mereka yang dipimpin agar memilih para pemimpin yang akan memimpin mereka sebagaimana yang mereka sukai dan idamkan. Imam Muslim r.a. meriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik bahawa Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW telah bersabda” Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu menyayanginya dan dia menyayangimu, kamu berdoa untuknya dan dia berdoa untukmu, Sejahat-jahat pemimpin pula adalah siapa yang kamu membencinya dan dia membencimu, kamu melaknatinya dan dia melaknatimu”.

Kendatipun begitu, Islam menetapkan beberapa aspek penting yang perlu dilaksanakan oleh pemimpin sesebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat antaranya sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 41 yang bermaksud “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” Imam Abu ‘Ala al-Maududi menyatakan bahawa berdasarkan ayat ini tujuan sebenar pembinaan negara itu ialah merealisasikan sistem keadilan sosial yang benar seperti yang digariskan di dalam al-Quran, disamping melarang permusuhan sesama manusia, memelihara kebebasan manusia dan membela negara. Tujuannya pula ialah untuk melarang semua jenis kemungkaran serta menghapuskan segala akar umbi kejahatan lalu menggantikannya dengan tunas-tunas kebaikan yang diredai Allah SWT.

Pembentukan negara adalah suatu tuntutan dalam Islam. Ini seperti yang telah ditunjukkan oleh Baginda Nabi SAW ketika pembentukan negara Madinah. Ia termasuk dalam perkara tuntutan fardhu kifayah. Kepentingan tentang pembentukan negara ada kaitannya dengan perlaksanaan syariah, kerana syariah tidak dapat dilaksanakan tanpa ada negara dan kedaulatan politik. Tuntutan perlaksanaan syariah adalah wajib ke atas muslim dan begitu juga mewujudkan negara juga adalah suatu yang wajib.

Keperluan

Sementara itu, keperluan kepada ketua negara adalah suatu yang tidak dapat dinafikan dan dalam hal ini Imam al-Mawardi ada menjelaskan sepertimana katanya,” Ketua Negara (Imamah) digelar sebagai pengganti kenabian dalam urusan agama dan mentadbir urusan dunia dengannya”. Ibnu Hazm berkata bahawa sepakat di kalangan semua ulama ahlu Sunnah, Murjiah, Syiah dan Khawarij tentang wajib diadakan pemimpin negara. Umat wajib mematuhi imam yang adil yang berupaya menegakkan hukum-hukum Allah dan memerintah berdasarkan hukum-hukum syarak yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Al-Qur‘an dan sunah menegaskan tentang wajib kepada pemilihan ketua negara antaranya firman Allah SWT bermaksud “Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul serta pemimpin-pemimpin urusan kamu”. Demikian juga terdapat hadis-hadis sahih yang lain memerintah supaya taat kepada ketua negara dan wajib memilih ketua negara.

Golongan Ahlul Sunnah dan jumhur ulama berpendapat bahawa ketua negara hendaklah dipilih secara pilihan raya. Pada pendapat mereka pemilihan khalifah merupakan ikatan kontrak di antara khalifah dan umat. Justeru itu, istilah yang dipakai dalam kontrak ini dinamakan “Bai‘ah”. Berdasarkan hal ini, kedaulatan Khalifah adalah didapati daripada umat, umat merupakan sumber kekuasaan yang sebenar dan ikatan di antara umat dengan ketua negara adalah ikatan sosial. Justeru itu, Dr. Yusof Al Qardhawi menyatakan bahawa sistem pilihan raya pada pandangan Islam adalah suatu kesaksian terhadap keletakan seseorang calon yang bakal dan akan dipilih. Atas dasar sedemikian maka, adalah menjadi kewajipan kepada seseorang warga muslim untuk mengundi agar calon yang amanah (al amin) dan punyai sifat kuat (al qawi) mencapai kemenangan. Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 282 yang bermaksud “Dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila dipanggil menjadi saksi”.

Pemilihan ketua negara Islam mengikut proses pilihan raya tidak selamanya berlaku. Ini disebabkan terdapat khalifah menyerahkan kuasanya kepada penggantinya sebelum dia meninggal. Sebilangan besar kalangan fuqaha’ menerimanya sebagai sah. Imam Al Mawardi ada menjelaskan tentang hal ini dengan katanya, “Adapun menyerah kuasa Imamah kepada orang tertentu yang dipilihnya, mengikut ijmak adalah sah kerana ada dua alasan; pertama Abu Bakr menyerahkan kuasa kepada Umar dan umat Islam menerima penyerahan itu sebagai sah. Kedua, Umar menyerahkan kuasa kepada anggota ahli syura, mereka menerimanya dan mereka adalah orang yang penting ketika itu dengan berkeyakinan bahawa penyerahan itu adalah sah, sedangkan sebahagian sahabat yang lain tidak termasuk anggota ahli syura. Justeru itu penyerahan kuasa demikian dikira sebagai ijmak”.

Undi, hukum dan syurga

Akhbar Sinar Harian telah menonjolkan pandangan saya yang punyai pertentangan dengan Mursyidul Am Pas tentang pernyataan bahawa “mengundi Pas masuk syurga”. Pandangan saya telah mendapat respon yang banyak hingga ada di kalangan masyarakat menyuruh agar saya meletak jawatan sebagai Mufti Perak dan terus melibatkan diri dengan politik. Bagi saya desakan tersebut merupakan lumrah biasa yang acapkali kedengaran bila pandangan saya bercanggah dengan pihak mereka. Dalam isu ini saya tidak sesekali menyatakan bahawa tiada timbul persoalan hukum dalam masalah mengundi dalam sesuatu pilihan raya. Saya juga bersetuju sama sekali dengan kenyataan beliau yang juga Menteri Besar Kelantan bahawa semua perbuatan manusia tidak akan terlepas daripasa hukum sama ada haram, harus, wajib, sunat dan makruh. Namun, untuk menentukan secara khusus siapa yang akan memasuki syurga kerana mengundi satu-satu parti adalah tidak tepat. Bukanlah urusan kita yang berstatus sebagai hamba Allah SWT menentukannya apatah lagi syurga dan neraka itu milik mutlak Allah SWT. Apakah kita tidak meneliti hadis Nabi SAW yang menyatakan bahawa masuknya kita dalam syurga adalah semata-mata kerana rahmat Allah SWT dan bukannya berdasarkan amalan kita. Ini berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim bilangan 7063 dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Amal soleh seseorang di antara kamu sekali-kali tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga. Mereka (para sahabat) bertanya, Begitu juga engkau ya Rasulullah?, Rasul menjawab: Tidak juga aku kecuali Allah melimpahkan kurniaan dan rahmatnya kepadaku”. Dalam satu riwayat yang lain dari Imam Muslim dari Jabir bahawa beliau berkata saya pernah mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaksud” Amal soleh seseorang diantara kamu tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga dan tidak dapat menjauhkannya dari azab api neraka dan tidak pula aku kecuali dengan rahmat Allah SWT”.

Saya mengharapkan agar saudara-saudara seagama dengan saya agar tidak mengambil ruang dan peluang untuk membangkitkan semula isu ini, apatah lagi kelompok Melayu Islam di negara kita yang tercinta ini telah lama berpecah yang menyebabkan kekuatan Islam juga tergugat. Sama ada kita dari parti UMNO, Pas atau PKR yang banyak didominasi oleh orang Melayu haruslah menyusun suatu kerangka dan formula baru untuk bersatu demi survival umat dan generasi kita di masa akan datang. Saya yakin bahawa semua lapisan pemimpin dan rakyat menyedari bahawa kesatuan kita dalam satu kelompok besar Melayu Islam yang bertolak ansur, berakhlak dan bertamadun boleh menjadikan kita umat yang kuat dan dihormati. -mingguan malaysia 6/3/2011

1 comment:

  1. Negara Islam adalah Daulah Khilafah yang dipimpin oleh seorang Khalifah yang telah runtuh pada tahun 1924.

    Bolehkah Negara Islam Tertegak Melalui Demokrasi?

    Lihatlah Blog Ar Rayah World News
    http://ibnuyassir.blogspot.com/

    Untuk mengetahui perkembangan terkini kebangkitan KHILAFAH.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...