Cikgu rogol murid

KOTA BHARU – Seorang guru dari sebuah sekolah di Tanah Merah, semalam, dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun dan dua sebatan selepas bersalah merogol anak muridnya, empat tahun lalu.

Mohd Saidi Che Tengah, 40, didapati bersalah terhadap dua daripada tiga tuduhan merogol mangsa sama berusia 12 tahun 2 bulan itu sebelum ditahan pada 18 September 2006 lalu.

Dalam kejadian 5 Ogos 2006 itu, Mohd Saidi merogol mangsa di sebuah rumah di Jalan Pasir Mas Kampung Bukit Merah, Tanah Merah, tengah hari, tarikh berkenaan.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh juga bersalah kerana mengulangi perbuatan itu terhadap mangsa di sebuah bilik Redzuan’s Beach Resort, Melawi, Bachok pada waktu pagi, 8 September tahun sama.

Mohd Saidi bagaimanapun terlepas hukuman terhadap dakwaan rogol empat hari selepas rogol kedua, 12 September tahun sama di bilik hotel Heritage Kuala Lumpur jam 11.30 sehingga 12 tengah malam.

Hakim Zainal L Saleh membuat keputusan di akhir kes pembelaan semalam selepas meneliti kedua-dua hujahan dari pihak pendakwaan dan pembelaan.

“Pada pertuduhan ketiga, tertuduh dilepas dan dibebaskan dari dakwaan terbabit kerana kes mempunyai alibi,” katanya.

Mohd Saidi masing-masing dihukum 12 tahun penjara pada pertuduhan pertama dan kedua berjalan serentak bermula tarikh hukuman dijatuhkan semalam.

Hakim Zainal bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman selepas dimohon peguam bela tertuduh, Aminudin Ahmad dan Hasif Hassan dengan syarat jaminan RM5,000 sebelum ini dinaikkan kepada RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pada prosiding yang berakhir kira-kira jam 11 pagi itu, Mohd Saidi bagaimanapun menggamatkan suasana apabila dia berkali-kali menengking jurukamera kerana berang imejnya dirakam di pekarangan mahkamah berkenaan.

Sumber: Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...