Seorang Wanita Yang Bermaharkan Roti dan Susu

Annas menulis “Syeikh Syah Al-Karmani mempunyai seorang anak perempuan yang sangat cantik wajahnya dan baik budi pekertinya.Seperti ayahnya yang zuhud,soleh dan warak.Gadis jelita ini juga menghabiskan waktu hariannya hanya untuk beribadah kepada Allah swt.Mari kita ikuti kisah kehidupan anak gadis ini sebagai renungan bersama.

Pada siang hari dia berpuasa dan pada sebelah malamnya bangun untuk melakukan solat tahajjud dan bermunajat sepenuhnya hanya kepada Allah swt.Sifat-sifat terpuji yang ada pada ayahnya juga menurun pada dirinya. Dia hidup sebagai gadis yang penyabar, penyayang dan qanaah.

Kecantikan anak perempuan Syeikh Syah ini sampai ke pengetahuan Raja Karmani yang memerintah pada waktu itu. Maka diapun menghantar orang-orangnya untuk merisik kesahihan yang diterimanya.

Ternyata memang benar, gadis itu memang sungguh cantik,maka dia pun meminang puteri itu, tetapi syeikh yang alim itu tidak mahu menerima pinangan terhadap anaknya dengan segera.Sebaliknya dia meminta masa selama tiga hari untuk mengambil keputusan sama ada menerima atau sebaliknya.

Sepanjang tempoh tiga hari itu.Syeikh itu pergi dari satu masjid ke satu masjid yang lain untuk meminta petunjuk dari Allah swt.Di salah satu masjid yang dimasukinya,dia melihat seorang pemuda sedang mengerjakan solat dengan tenang dan khusyuk.

Syeikh sangat tertarik pada pemuda itu kerana caranya beribadah sangat baik dan pakaiannya pula sangat sederhana. Sudah tentu pemuda itu termasuk seorang yang beriman dan faham tentang agama.

"Alangkah berbahagianya kalau aku punya menantu seperti pemuda fikir Syeikh."

Apabila pemuda itu selesai solat,Syeikh mendekatinya untuk berkenalan dan bertanyakan sesuatu kepada pemuda itu.Setelah memberikan salam, Syeikh bertanya nama dan lainnya dan bertanyakan masalah jodoh.

" Fikiranku belum sampai ke sana, tapi kalau itu memang ketentuan Allah swt, kita tidak dapat mengelaknya." Sahut pemuda itu.

" Kalau begitu,sukakah kau beristerikan seorang perempuan solehah yang banyak membacaAl-Quran,banyak solatnya,pada siang hari dia senantiasa berpuasa dan pada sebelah malamnya bangun bertahajjud, bermunajat kepada Allah swt.Adapun wajahnya,cantik juga."

" Wahai Tuan Syeikh,siapakah gerangan yang mahu berkahwin denganku yang serba kekurangan ini ?" Itu semua serahkan kepadaku. Asal saja saudara minat."

" Maksud Tuan Syeikh ? "

" Ada seorang ayah yang ingin menikahkan puterinya dengan saudara."

" Siapa dia ? "

" Aku sendiri.Anak perempuanku sudah mencapai usia kahwin dan aku harap agar saudara menerimanya.Si pemuda diam sebentar sambil menundukkan kepalanya, kemudian berkata, ” Tapi aku tidak punya sebarang apa untuk dijadikan mahar."

" Saya tidak ingin memberatkan saudara."

" Maksud Tuan Syeikh ? "

" Saudara hanya perlu menyediakan roti sehingga satu dirham dan susu berharga satu dirham juga. Itu saja."

Dengan bertawakal kepada Allah swt,pergilah pemuda itu mencari barang yang diperlukannya dan apabila sudah mendapatkannya, dia datang semula kepada Syeikh Syah.

Maka dengan tiada membuang masa,Syeikh menikahkan pemuda pilihannya dengan puterinya yang solehah.Syeikh sangat gembira kerana telah mendapat menantu yang sesuai dengan kehendaknya.

Kemudian Syeikh Syah menghantarkan puterinya ke rumah suami anaknya.Dengan menundukkan kepala kerana malu, wanita solehah itu melangkah kakinya memasuki rumah suaminya.

Sebaik sahaja masuk, tiba-tiba wanita itu berhenti melangkah dan melihat pada sesuatu yang kurang berkenan di hatinya sebagai seorang yang tawakal.

Hal ini membuatkan suaminya hairan, tapi dia diam saja.Sebenarnya perempuan zuhud itu melihat ada sekeping roti di rumah suaminya yang menyebabkannya terpegun seketika.

" Benda apa ini ? " tanya perempuan itu kepada suaminya.

" Oh…ini sekeping roti, " jawab si suami.

" Roti ? "

" Ya roti semalam. Sengaja aku tinggalkan untuk persediaan berbuka puasa pada hari ini.”

Tiba-tiba perempuan itu berbalik dan menuju ke arah pintu untuk keluar, sementara suaminya terpinga-pinga.

" Hendak ke mana sayang ? " tanya si suami.

" Aku hendak balik ke rumah bapaku."

" Hendak balik ? "

" Ya."

" Memang aku sudah menyangka bahawa anak seorang Syeikh tidak akan dapat bertahan dengan kefakiranku ini dan tidak mungkin mahu bersuamikan orang seperti aku yang sangat miskin."

" Ketahuilah sayang,bahawa anak seorang Syeikh seperti aku ini akan keluar dari rumah ini bukan kerana kefakiran, kemiskinan dan bukan pula kerana kekuranganmu. Bahkan aku sudah biasa hidup dalam keadaan seperti ini."

" Jadi mengapa engkau hendak pulang ? "

" Anak Syeikh akan keluar dari rumahmu ini disebabkan terlalu tipis keimanan di dadamu pada kekuasaan Allah swt.Walau bagaimanapun, aku tidak menyalahkan engkau, tetapi aku kecewa akan janji ayahku."

" Apa janji ayahmu kepadamu ? "

" Ayah berkata kepadaku bahawa aku akan dikahwinkan dengan seorang lelaki yang iffah, zuhud dan tawakal,sedangkan engkau berpegang teguh sepenuhnya kepada Allah ? Ini terbukti engkau masih ada menyimpan sekeping roti untuk berbuka puasa."


Mendengar itu si pemuda sangat hairan dan takjub, kerana tidak sangka setinggi itu jangkauan wanita solehah yang baru dinikahinya. Dia yakin bahawa sudah tentu martabat isterinya sangat tinggi di sisi-Nya.

" Kalau hanya sekeping roti itu menyebabkan engkau hendak keluar dari rumahku, aku mohon kemaafan."

" Mohon maaf itu adalah urusanmu.Itu senang saja."

" Jadi apa pula keinginanmu wahai kekasih Allah ? "

" Aku tidak mahu tinggal di dalam rumah yang di dalamnya terdapat makanan. Aku tidak memerlukan itu semua. Keperluanku hanya pada Allah swt semata.Sekarang abang boleh pilih satu daripada dua."

" Apa pula itu ? "

" Keluarkan makanan itu dari rumah ini atau aku tidak masuk rumah ini buat selamanya."

Si pemuda memilih untuk mengosongkan rumahnya dari sebarang makanan, kerana tidak mahu isterinya meninggalkannya. Maka ketika itu juga, sekeping roti itu dikeluarkan dan di sedekahkan kepada fakir miskin yang memerlukan. Sedangkan berbuka puasa pada hari itu hanya bergantung kepada Allah swt.

Kemudian dibawa isterinya masuk ke dalam rumah yang telah bebas dari sebarang makanan. Di sanalah suami isteri solehah itu hidup bahagia dan menghabiskan masa hanya untuk beribadah kepada Allah Radiallahhu anhum.

Begitulah kisah kehidupan orang-orang soleh yang taat kepada Allah swt. Mereka hanya berserah dan memohon hanya kepada Allah.

Sekadar renungan kita bersama….

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...